Pemerengganan Berkesan

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Asas mengarang

Pemerengganan bermaksud usaha untuk menghasilkan komposisi sesebuah penulisan yang mantap melalui binaan perenggan-perenggan yang sempurna. Perenggan yang sempurna terhasil apabila struktur atau bahagian-bahagian yang lengkap dalam perenggan berjaya diwujudkan. Oleh itu, bagi menghasilkan pemerengganan yang berkesan, seseorang penulis itu hendaklah mengikut segala tertib dalam mengarang sesuatu isu.
            Binaaan struktur karangan yang dihasilkan berkesan sekiranya seseorang penulis menerapkan aspek-aspek penting dalam wacana tersebut. Antaranya ialah menerapkan pelbagai aspek bahasa dari segi aras kata, iaitu tahap penulisan idea, frasa iaitu gabungan dua kata, klausa, iaitu adanya subjek dan predikat dan seterusnya adalah ayat, iaitu ayat mudah dan lengkap dalam menghasilkan wacana yang berfokus tanpa perlu meleret-leret yakni tiada penumpuan dalam mengupas sesuatu isu. Hal ini menunjukkan pemerengganan yang berkesan adalah wacana yang tersusun mengikut aspek bahasa yang betul dan terdapat kesinambungan antara sesuatu ayat dengan ayat yang lain.
Tambahan pula, pemerengganan yang berkesan juga perlu dihasilkan berdasarkan aspek mekanik bahasa, iaitu dari segi tatabahasa, ejaan dan tanda baca. Penulisan sesuatu idea itu hendaklah disempurnakan mengikut tatabahasa yang betul tanpa menggunakan ayat yang mengandungi unsur lewah pada binaan sesetengah frasanya. Sebagai contoh, frasa khalayak ramai adalah tidak perlu kerana frasa khalayak sememangnya merujuk kepada orang ramai. Aspek ejaan dan tanda baca juga perlu diambil kira kerana hal ini penting bagi memastikan wacana yang ditulis dapat dibaca dengan lancar dan tidak berlaku salah faham disamping membuktikan penulisan tersebut dihasilkan oleh penulis yang cekap.
            Selain itu, aspek dinamik bahasa juga perlu diterapkan dalam menghasilkan pemerengganan yang berkesan. Aspek ini merupakan salah satu cara atau kaedah yang boleh digunakan oleh seseorang penulis dalam menarik tumpuan pembaca untuk membaca wacana yang ditulis. Kaedah ini dikenali sebagai retorik. Retorik merupakan teknik yang mengandungi aspek tatabahasa yang betul dan penyampaian idea yang baik . Teknik tersebut merupakan salah satu teknik yang menyampaikan idea yang berkesan dan menarik dalam tujuan untuk mempengaruhi, memujuk dan meyakinkan pembaca tentang sesuatu topik atau isu yang ditulis. Hal ini turut merangkumi aspek penggayaan bahasa seperti penggunaan ayat yang mengandungi unsur metafora dan juga ayat yang stailistik.
            Kesimpulannya,setiap penulisan hendaklah disertai dengan tertib dalam karang-mengarang. Seorang penulis pasti akan menghasilkan wacana yang mantap, iaitu hasil pemerengganan yang berkesan sekiranya setiap aspek-aspek tersebut diterapkan didalam penulisan mereka.


Binaan pemerengganan yang berkesan

Perenggan digunakan oleh seseorang penulis untuk menyampaikan ideanya dengan lebih tersusun dan mewujudkan komunikasi antara penulis dengan pembaca. Binaan perenggan yang sempurna terhasil apabila struktur atau bahagian-bahagian yang lengkap dalam perenggan berjaya diwujudkan. Bahagian-bahagian tersebut adalah berlainan antara perenggan pendahuluan, isi dan penutup.

Komponen utama yang diperlukan dalam binaan sesuatu perenggan ialah:

Perenggan pengenalan
Pengenalan dalam sesebuah penulisan merupakan permulaan dan pencetus minat terhadap individu untuk meneruskan pembacaan ataupun sebaliknya. Pembaca juga akan membuat persepsi awal tentang perkara yang ditulis setelah membaca pendahuluan. Permulaan sesebuah pemerengganan yang berkesan sebolehnya menggambarkan tajuk perbincangan dan keseluruhan isi yang hendak dibincangkan dalam perenggan isi penulisan. Terdapat empat jenis binaan ayat dalam perenggan pendahuluan, iaitu:

1)      Ayat penyataan
-          Ayat penegasan dan ayat alasan.
2)      Ayat huraian
-          Ayat perbandingan dan faedah.
3)      Ayat rangsangan
-          Ayat memujuk perasaan, rasa ingin tahu dan membentuk persoalan.
4)      Ayat pandu arah
-          Ayat yang bertujuan untuk memandu pembaca tentang hala tuju karangan.

Contoh binaan perenggan pengenalan
Tradisi makan bersama-sama keluarga di luar banyak manfaat kepada keluarga.  Amalan ini dapat  mengeratkan hubungan kekeluargaan (Ayat penegasan).  Hubungan kekeluargaan boleh terjalin sekiranya kita dapat meluangkan masa yang berkualiti bersama-sama keluarga (Ayat alasan). Pada waktu inilah ahli keluarga boleh menggunakan masa untuk beramah mesra demi mengeratkan hubungan. Mereka boleh bertanya tentang khabar serta situasi di tempat kerja atau di sekolah(Ayat huraian). Mereka juga boleh berbincang mengenai masalah yang dihadapi oleh mereka ketika makan (Ayat rangsangan). Situasi sebegini sudah tentu dapat mengekalkan institusi keluarga daripada runtuh. (Ayat pandu arah)

Perenggan isi
Perenggan isi merupakan perenggan pengembangan yang terdiri daripada beberapa perenggan. Setiap perenggan mempunyai isi tersendiri mengikut kehendak soalan atau topik yang dibincangkan. Penyusunan isi hendaklah sistematik dan mengandungi makna serta mempunyai kesinambungan antara sesuatu ayat dengan ayat yang lain. Terdapat lima jenis binaan ayat dalam perenggan isi, iaitu:

1)      Ayat topik
-          Ayat topik ialah isi atau idea utama yang menjadi tema keseluruhan perenggan serta ayat yang memandu pengembangan idea dalam sesuatu perenggan dan bertindak sebagai satu kawalan dalam penulisan isi dalam sesuatu perenggan.
2)      Ayat huraian
-          Ayat huraian berfungsi menyokong ayat topik iaitu menghuraikan idea atau menjawab soalan yang dikemukakan oleh ayat topik.
3)      Ayat contoh
-          Ayat contoh ialah ayat lanjutan daripada ayat huraian.
4)      Ayat sokongan
-          Ayat sokongan ialah ayat yang menyokong sesuatu topik dengan menyatakan bukti yang dikukuh. Sebagai contoh, menyatakan bukti mengikut statistik dan sebagainya.
5)      Ayat rumusan
-          Ayat rumusan ialah ayat yang merumuskan isi dalam sesuatu perenggan sahaja atau dipanggil rumusan kecil.

Contoh perenggan isi
Sudah terlalu banyak kes pende­ra­­an terhadap kanak-kanak didedah­kan oleh media, sehingga a­da yang menyebabkan kematian. Mengambil kira satu kes yang menya­yat hati kita tiga dekad yang lalu, seluruh negara bangun mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan ini sehingga membawa penggubalan undang-undang yang lebih ketat bagi mengelak isu sama berulang. Namun begitu, kejadian sama tetap berulang. Hampir setiap tahun ada kes penderaan kanak-kanak. Dari segi undang-undang, pende­raan kanak-kanak bermaksud dera ataupun satu perbuatan zalim yang dilakukan ke atas golongan kanak-kanak iaitu mereka yang berusia kurang daripada 18 tahun. Jika dilihat rekod Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, kes-kes penderaan semakin membimbangkan.


Perenggan penutup
Apabila selesai menulis ayat fokus untuk isi utama bagi sesebuah perenggan, perenggan tersebut hendaklah diakhiri dengan ayat kesimpulan yang menunjukkan sesebuah perenggan itu telah berakhir. Bagi meninggalkan kesan tertentu kepada pembaca, perenggan penutup perlu dibina dengan menggunakan strategi yang mengandungi ayat yang berfungsi sebagai ringkasan, rumusan, keputusan, penegasan, cadangan dan sebagainya.

Contoh perenggan penutup
Kesimpulannya, untuk membendung masalah sosial ini daripada terus menular, pihak-pihak yang terlibat harus berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing. Jika semua pihak dapat mengemblengkan usaha dalam mengatasi masalah sosial dalam kalangan remaja ini, sudah pasti masalah ini dapat diselesaikan sehingga ke pakar umbi.

 Sekian, terima kasih.





Comments

Popular posts from this blog

PERANAN DIKSI DAN ANALISIS AYAT